Azalina calon wanita tunggal tanding Naib Presiden UMNO

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Azalina Othman Said menjadi satu-satunya calon wanita yang bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu setakat ini.

Perkara itu disahkan pegawainya yang memaklumkan menteri undang-undang dan reformasi institusi terbabit menyerahkan borang pencalonannya hari ini.

“Azalina menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan Umno penggal 2023-2026 di ibu pejabat Umno pada 12 tengah hari tadi,” katanya menurut Berita Harian.

Pencalonan bagi pemilihan Umno yang bermula 13 Feb lalu akan ditutup esok.

Terdahulu, seorang lagi ahli MKT, Reezal Merican Naina Merican menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan sama.

Awal minggu ini, penyandang jawatan nombor tiga parti itu, Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan berkenaan.

Ahli MKT, Shamsul Anuar Nasarah dan Zambry Abdul Kadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad turut bersaing bagi jawatan itu.

Seorang lagi penyandang naib presiden Umno yang juga bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun belum menyatakan pendiriannya.

Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan 11 Mac ini, manakala Umno bahagian dan MKT pada 18 Mac nanti.

Views: 13