Lompat macam monyet, Bung gesa SPRM siasat 5 bekas ADUN UMNO

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang melompat parti hari ini, seperti ‘monyet’.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang melompat parti hari ini, seperti ‘monyet’.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kelima-lima ADUN UMNO itu yang mungkin keluar parti kerana ‘dibeli’.

Gesaan Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu disuarakan ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini (Selasa)

Katanya, beliau tidak mahu adanya unsur pembelian ADUN demi mempertahankan kuasa, sekali gus mendorong mereka melompat parti.

Bung Moktar yang pernah dikaitkan dengan ‘Langkah Kinabalu’, Januari lalu, turut menyamakan tindakan lima ADUN itu seolah-olah seperti monyet yang tabiatnya suka melompat.

“Ini yang saya sentuh, mereka melompat macam monyet, jatuh sana jatuh sini, asal melompat dapat jawatan, dapat duit…. bila nak berhenti perbuatan ini di  Sabah, malu saya.

“Majoriti ADUN Sabah yang bertanding, niat mereka melompat untuk dapat jawatan… kalau tidak mengkhianati parti susah dapat jawatan… mereka ini ada yang jadi pengerusi eksekutif, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) besar.

“Saya minta penguat kuasa SPRM, polis siasat mereka yang melompat ini sebab memalukan. Sabah terkenal dengan wakil rakyat yang suka melompat parti… ini harus dihentikan.

“Mereka memasang hasrat bertanding dan menang sahaja, akan cari peluang untuk melompat supaya dapat jadi menteri atau pembantu menteri, dapat RM1 juta, RM2 juta dan RM5 juta… ini kerja ADUN Sabah yang terkenal di Sabah suka melompat,” katanya.

Lima ADUN UMNO Sabah yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta membabitkan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Serentak tindakan itu, lima ADUN berkenaan turut mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada masa sama, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah berkata, pihaknya yakin sepandai-pandai tindakan ADUN yang suka melompat parti ini akhirnya akan jatuh ke tanah juga kerana rakyat sedang memerhatikan mereka.

Pihaknya turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang sibuk mempertahankan kuasa dengan menggunakan wang ringgit daripada memikirkan hala tuju rakyat.

“Akta antilompat parti tidak diterjemahkan di Sabah sebab itu pada hari ini masih ada pembelian ADUN daripada parti lain, ini perbuatan orang yang tidak rasional.

“Dulu saya pun tertanya-tanya bila kerajaan negeri hendak melaksanakan akta antilompat parti, rupa-rupanya ada udang di sebalik mi,” katanya.

Views: 269