
KOTA KINABALU (26 Feb): Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dijangka meneruskan misi pembelian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ingin melompat parti dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti itu dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pembelian ini akan berterusan dari semasa ke semasa selagi “kilang” Gagasan Rakyat untuk menghimpunkan Adun-Adun ini belum sesak dan Adun-Adun masih berminat untuk berpindah parti sesuka hati.
Difahamkan petang esok (Isnin), bendahari agung parti Warisan yang juga Adun Petagas, Awang Ahmad Shah akan mengumumkan keluar parti untuk menyertai Gagasan Rakyat di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.
Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar petang esok untuk mengumumkan keputusannya meninggalkan Warisan. Wakil-wakil media juga sudah menerima jemputan untuk menghadiri sidang akhbar tersebut.
Selain Awang, beberapa lagi Adun Warisan dijangka menyusuli tindakan beliau untuk keluar parti. Bagaimanapun nama-nama mereka tidak disebutkan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jamain Sarudin dalam satu hantarannya di facebook membanyangkan beberapa lagi Adun Warisan dijangka akan meninggalkan parti tersebut.
“Dengar-dengar ada lagi yang tak nak duduk lama dalam kapal layar (Warisan)”, sindirnya.
Parti Warisan dilihat paling teruk terjejas apabila satu per satu Adunnya mengambil keputusan menyertai Gagasan Rakyat yang mencipta sejarah sebagai sebuah parti baharu mampu menarik lebih ramai Adun yang tidak berprinsip untuk menyertainya.
Banyak dakwaan bahawa Gagasan Rakyat menawarkan pelbagai habuan, ganjaran dan jawatan sekiranya Adun-Adun yang berpaling tadah dan menyertainya.
Penganalisis melihat fenomena melompat parti dalam kalangan Adun ini telah merosakkan sistem politik terkini dan memusnahkan amalan demokrasi di Sabah.
Parti-parti yang terjejas teruk dalam isu pembelian Adun-Adun ini seharusnya tidak berdiam diri sebaliknya perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dapat dilakukan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.
Jika keadaan ini terus berlarutan, ia bukan sahaja memusnahkan demokrasi, memalukan politik di Sabah malah ia menjadi kerugian besar kepada pengundi-pengundi untuk memilih wakil-wakil rakyat dalam pilihan raya.
Views: 17