PENDEDAHAN BAGAIMANA PROKSI HAMZAH, LIMUS JURIH DIPERKAYAKAN ERA KERAJAAN PN SPRM WAJAR SIASAT

KOTA KINABALU (25 Feb): Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan bagaimana proksi Datuk Hamzah Zainuddin di Sabah, Datuk Limus Jurih, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah diperkayakan dalam era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dengan pemberian beberapa projek “direct nego” bernilai ratusan juta ringgit.

Dalam satu video yang tular, Limus dikatakan telah dianugerahkan sekurang-kurang empat projek naik taraf ketika PN memegang tampuk pemerintahan negara.

Antara projek yang didedahkan ada kaitan dengan Adun tersebut termasuk Projek naik taraf jalan Tarawas Malisau Kaingaran dan Kagarasan, Ranau Sabah bernilai RM252 juta, projek naik taraf Jalan Mansalu, Ranau Sabah bernilai RM500 juta (Perwira Progresif Construction Sdn Bhd), projek naik taraf Jalan Samparita- Jalan Sunsusngan Magandai, Kota Marudu Sabah bernilai Rm279 juta dan projek naik taraf sistem bekalan air Kuala Penyu bernilai RM70 juta.

Menurut Lokman Noor Adam, selain syarikat Perwira Progresif Construction SB, tiga syarikat lain yang dikenal pasti ada kaitan Limus ialah Perwira Indahjaya Sdn Bhd, Usaha Impresif Sdn Bhd dan Misi Maju Sdn Bhd digunakan untuk memperoleh projek-projek “direct nego” tersebut.

AMT Umno itu yang baru-baru ini dilepaskan daripada penggantungan parti mendakwa Limus adalah seorang Adun yang cukup kaya di Sabah dan terbabit dalam merancang pembelian Adun-Adun untuk memberi sokongan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus menerajui kerajaan negeri ini.

Beliau menambah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan terhadap projek-projek itu yang diberikan kepada syarikat-syarikat Adun berkenaan.

Limus yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah difahamkan telah memperoleh empat pakej projek Pan Borneo di mana dua pakej diperolehinya ketika era Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sebelum ini manakala dua lagi diberikan ketika era kerajaan GRS.

Untuk rekod, Adun yang disifatkan licik ini pernah ditahan SPRM beberapa tahun yang lalu atas pembabitannya untuk merasuah beberapa ketua pemuda sebuah parti di Sabah semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Bagaimanapun, kes tersebut tidak dapat dipastikan kesudahannya sehingga kini kerana kaitan Adun berkenaan dengan pemimpin-pemimpin tinggi dalam kerajaan Persekutuan.

Views: 1037