
KOTA KINABALU: Terdapat cubaan mereka yang didakwa mengendalikan Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) pada 13 Mei lalu secara tidak mematuhi perlembagaan persatuan itu untuk mengkaburi mata Pesuruhjaya Sukan atau PJS agar disahkan membabi buta.
Walaupun banyak kesalahan dilakukan bertentangan dengan perlembagaan tetapi mereka terus berusaha untuk seolah-olah memberi tekanan agar pihak PJS memihak mereka.
Beberapa orang “kaki bodek” kumpulan pemimpin yang dikatakan dipilih dalam kongres berkenaan cuba memperalatkan kakitangan SAFA untuk memberi kenyataan untuk cuba menegak benang yang basah.
Setiausaha kerja Safa, David Wisom kelmarin dilaporkan memberi kenyataan kepada media bahawa kongres tahunan persatuan itu telah dijalankan secara sah walaupun banyak pihak mempertikai pengendaliannya yang disifatkan sebagai melanggar perlembagaan dan peraturan mesyuarat.
Sedih dengan keadaan itu, pemerhati sukan berpandangan pengesahan itu seharusnya dibuat PJS bukannya datang dari seorang kakitangan Safa.
Tindakan tersebut dilihat sebagai satu bentuk tindakan terdesak apa yang dikatakan kepimpinan baharu yang belum diiktiraf menjadikan SUK Safa sebagai “kambing hitam”.
Sebarang pengesahan mengenai perjalanan kongres itu hanya boleh ditentukan oleh PJS bukan oleh sesiapa termasuk kakitangan dalam persatuan tersebut, demikian menurut sumber.
Tempoh kongres tahunan itu hampir memasuki dua minggu namun belum ada petunjuk barisan kepimpinan baharu itu sudah menerima keputusan pengesahan pihak berkuasa pendaftaran persatuan.
Ini menjadikan Safa sebagai persatuan sukan yang diumpamakan “hidup segan mati tak mau”. Malah sekiranya kekalutan berlarutan menghantuinya, ia boleh mengundang persatuan itu menerima nasib yang malang.
Views: 13