PENDUDUK BINA JAMBATAN SENDIRI, MANA TANGGUNGJAWAB KERAJAAN?

PENDUDUK di kawasan Pedalaman mendakwa telah bergotong-royong untuk membina jambatan kayu bagi membolehkan jalan raya mereka dapat dilalui pengguna terutama penduduk yang selama ini mengalami kesengsaraan akibat keadaan jalan raya yang terputus.

Menerusi satu video berdurasi 17 saat yang tular di media sosial itu, penduduk berkenaan menunjukkan jambatan kayu yang telah siap mereka bina atas insiatif sendiri secara bergotong-royong.

Ia menarik perhatian nitezen yang sekali gus mempersoalkan tanggungjawab kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah.

Seorang penduduk tersebut, berkata, kerajaan yang memerintah sekarang telah memberi peluang kepada mereka untuk membina jalan raya sendiri.

“Buatan sendiri, rakyat kau yang pengundi (merujuk kepada kerajaan”.

“Jadi ingat-ingatlah, dua tahun lagi kita mengundi. Sekian terima kasih,” katanya seolah-olah memberi peringatan.

Akhir-akhir ini memang terlalu banyak keadaan kerosakan jalan raya tular di media sosial terutama di pantai timur dan kawasan pedalaman.

Kerosakan teruk itu termasuk keadaan jalan raya yang berlubang-lubang sehingga ada penduduk yang mendakwa ia tidak ubah seperti keadaan seperti di bulan.

“Kita tidak perlu pergi ke bulan, memadai melihat keadaan jalan raya berlubang, kita seolah-olah seperti berada di bulan,” dakwa penduduk yang terlalu kecewa.

Mereka mendakwa pihak Kementerian Kerja Raya seharusnya berusaha memperbaiki keadaan jalan-jalan raya yang rosak supaya tidak menyulitkan pengguna.

“Menteri yang berkenaan patut membantu menangani keadaan jalan raya yang rosak itu dan jangan hanya membuat kenyataan tidak mempunyai peruntukan. Berusahalah cari jalan untuk mengatasi keadaan jalan raya yang menyusahkan rakyat,” ujar mereka.

Situasi diburukkan lagi apabila menterinya, Datuk Shahelmy Yahya terus dipertikaikan banyak pihak termasuk mereka yang dalam kerajaan serta pembangkang berhubung jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri 3 atas dakwaan gagal berbuat sesuatu sejak mengambil alih portfolio KKR Sabah.

Kedudukannya yang tidak mewakili mana-mana parti dalam kerajaan serta kekangan untuk menyertai parti politik lain disebabkan RUU Anti Lompat Parti sudah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini mengundang kerisauan tidak bernoktah kepada rakyat.

Views: 13