PRADEEP BODEK RUDDY SIFATKAN MESYUARAT MENGEJUT TERBAIK

Ruddy menyerahkan baju korporat dan topi kepada Pradeep dalam mesyuarat itu.

KOTA KINABALU: Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa}, Pradeep Shamsuddin menyifatkan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Safa, Dato Seri Ruddy Awah mengadakan mesyuarat jawatankuasa secara mengejut sebagai terbaik selepas mendiamkan diri sejak mengetuai jawatankuasa itu pada Mei Lalu.

Ia berikutan pendedahan dalam portal mendakwa jawatankuasa itu ibarat “hidup segan mati tak mahu” kerana tiada mempunyai perancangan jelas termasuk gagal menganjurkan sebarang kejohanan bola sepak termasuk kejohanan berprestij seperti Piala Ketua Menteri atau pertandingan lain yang lazimnya diadakan setiap tahun.

Pradeep dilihat menampilkan diri dengan lebih gah setelah Setiausaha Agung Safa, Datuk Rahman Zakaria didakwa tidak lagi muncul ke pejabat lebih sebulan lalu.

“Terbaik jawatankuasa pertandingan tempatan dipengerusikan Dato Seri Ruddy Awah. Mahu beraksi sudah ni,” kata Pradeep dalam satu hantaran di facebook hari ini.

Ia susulan Ruddy secara tiba-tiba memanggil mesyuarat itu di bilik persidangan sebuah kementerian kelmarin selepas didakwa hanya mendiamkan diri dan tiada perancangan untuk menganjurkan sebarang kejohanan yang sepatutnya dilakukan.

Dalam mesyuarat itu yang tidak dipastikan agendanya, Ruddy yang juga selaku Naib Presiden Safa membahagi-bahagikan baju korporat dan topi kepada ahli-ahli jawatankuasanya.

Sekadar baju dan topi sahaja bolehlah menambah seri penampilan namun mampu kah jawatankuasa tersebut menganjurkan apa-apa kejohanan dalam tempoh satu atau dua bulan ini.

Jika sebaliknya terpaksalah peminat bola sepak menunggu tahun 2024 dan jika berlaku pilihan raya negeri, adakah majoriti orang politik dalam Safa sekarang masih mahu memikirkan soal sukan bola sepak?.

Selaku “anak emas” dalam Safa, Pradeep yang turut diberi peranan sebagai Pengerusi Pintu dan Tiket Sabah FC dikatakan terpalit dengan isu pembayaran elaun petugas-petugas dan budak pengutip bola di Stadium Likas setiap kali perlawanan Liga Super membabitkan Sabah FC.

Difahamkan petugas terbabit termasuk budak pengutip bola belum dibayar elaun mereka melibatkan lebih 20 perlawanan. Pradeep sepatutnya menyelesaikan isu ini sebagai rasa belas kesian kepada mereka yang telah mengerah tenaga dan berkorban untuk Sabah FC.

Views: 23