Program Jelajah Henti, Elak, Basmi Asap Tembakau (HEBAT) Sabah 2026 Perkasa Kesedaran Rokok dan Vape di Keningau

KENINGAU: Program Jelajah Henti, Elak, Basmi Asap Tembakau (HEBAT) Keningau, Sabah 2026 telah dilaksanakan di Keningau baru – baru ini sebagai usaha memperkukuh kesedaran masyarakat, khususnya golongan pelajar dan bakal pendidik, terhadap bahaya rokok, vape serta pendedahan asap tembakau.

Program Jelajah HEBAT Keningau, Sabah 2026 diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nazri bin Mohd Daud selaku Ketua Koordinator Program, dengan sokongan barisan koordinator iaitu Profesor Madya Dr. Fredie Robinson, Dr. Mohd Hafyzuddin bin Md Yusuf dan Dr. Muhd Shafeiq bin Muhammad Asri.

Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, Persatuan Alumni SMK Gunsanad II Keningau, SMK Gunsanad II Keningau serta International Society of Substance Use Professionals (ISSUP).

Program Jelajah HEBAT Keningau, Sabah 2026 telah bermula pada sebelah pagi di SMK Gunsanad II Keningau melalui sesi ceramah kesedaran berkaitan rokok dan vape yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nazri bin Mohd Daud. Ceramah tersebut dijalankan dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Gunsanad II Keningau yang diselia utama oleh Puan Fazilah binti Mohd Yusri, guru kaunseling sekolah berkenaan. Sesi tersebut memberi penekanan kepada risiko kesihatan akibat tabiat merokok dan penggunaan vape, selain kepentingan membuat keputusan yang bijak dalam kalangan remaja.

Prof Nazri menyampaikan ceramah HEBAT Sabah 2026 berkaitan rokok dan vape

Program di SMK Gunsanad II Keningau ini telah dirasmikan oleh Puan Hajah Noormah binti Haji Tahir, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum SMK Gunsanad II Keningau.

Pada sebelah petang, Program Jelajah HEBAT Keningau, Sabah 2026 diteruskan dengan sesi bengkel kejurulatihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau. Bengkel ini melibatkan 80 orang pelajar IPG dengan seliaan bersama dua pensyarah IPG, iaitu Puan Sabriah binti Maili @ Mohd Rasli dan Tuan Fredolin bin Amit. Majlis bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Doti Asing, Pengarah IPG Kampus Keningau.

Bengkel kejurulatihan itu dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nazri bin Mohd Daud dan Dr. Muhd Shafeiq bin Muhammad Asri. Antara pengisian bengkel termasuk sejarah dan isu kawalan tembakau, bahaya produk tembakau terhadap kesihatan, persekitaran dan orang sekeliling, kemahiran komunikasi dalam advokasi kawalan tembakau, etika penulisan media sosial serta aktiviti menghasilkan kandungan kesedaran berkaitan rokok dan vape.

Bengkel kejurulatihan HEBAT Sabah 2026 di IPG Kampus Keningau

Pelaksanaan Program Jelajah HEBAT Keningau, Sabah 2026 dilihat penting dalam memperluas pendidikan kesihatan awam, khususnya dalam menangani normalisasi penggunaan rokok dan vape dalam kalangan generasi muda. Melalui gabungan ceramah kesedaran di sekolah dan bengkel kejurulatihan bersama bakal pendidik, program ini bukan sahaja menyampaikan mesej pencegahan, tetapi turut membina jaringan advokasi yang lebih mampan di peringkat komuniti.

Maklumat lanjut berkaitan kesan penggunaan tembakau terhadap kesihatan boleh dirujuk melalui JomQuit Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *