USAHA PENCEGAHAN DADAH DI SABAH MEMERLUKAN KERJASAMA STRATEGIK PELBAGAI PIHAK

Isu penyalahgunaan dadah di Negeri Sabah terus menjadi perhatian pelbagai pihak dan memerlukan pendekatan yang menyeluruh serta bersepadu. Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Nazri bin Mohd Daud, Pakar Perunding Perubatan Keluarga Universiti Malaysia Sabah (UMS), usaha pencegahan dan intervensi hanya dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi akademik, pengamal kesihatan serta masyarakat setempat.

Dalam satu temuramah santai berkaitan isu tersebut, beliau menegaskan bahawa kesejahteraan Sabah sebagai sebuah negeri yang aman dan harmoni perlu diperkukuh melalui amalan gaya hidup sihat, selamat dan berdaya tahan dalam kalangan rakyatnya.

“Sabah merupakan sebuah negeri yang sejahtera. Namun, kelestarian kesejahteraan ini amat bergantung kepada komitmen bersama dalam menangani cabaran kesihatan awam, termasuk isu penyalahgunaan dadah. Walaupun berdepan pelbagai kekangan dan cabaran, usaha pencegahan dan rawatan akan terus diperkasakan melalui pendekatan berasaskan bukti, pendidikan serta sokongan komuniti,” jelas beliau.

Profesor Madya Dr. Mohd Nazri yang juga diiktiraf sebagai pakar dalam bidang ketagihan, telah membuktikan komitmen akademik dan kepimpinan profesional beliau melalui penganjuran International Borneo Conference on Addiction and Mental Health (IBCAMH) 2025, yang berlangsung pada Oktober 2025 lalu di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS.

Persidangan antarabangsa selama tiga hari itu telah menghimpunkan hampir 150 orang delegasi tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan peranan UMS sebagai pusat kecemerlangan akademik dan rujukan serantau dalam bidang ketagihan serta kesihatan mental. Program ilmiah berprestij ini turut mencerminkan keupayaan UMS dalam memacu perbincangan multidisiplin yang mengintegrasikan penyelidikan, dasar kesihatan dan amalan klinikal.

IBCAMH 2025 telah dirasmikan oleh Dekan FPSK UMS, Datuk Dr. Mohd Yusof bin Hj Ibrahim, yang diwakili oleh Timbalan Dekan Akademik, Dr. Mohammad Firdaus bin Bolong @ Mohd Darwis, menzahirkan sokongan penuh pihak pengurusan tertinggi fakulti terhadap usaha akademik berimpak tinggi yang diterajui oleh warga UMS.

Melalui inisiatif seperti ini, UMS terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja unggul dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah aktif menyumbang kepada pembangunan kesihatan masyarakat dan kesejahteraan sosial di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *