KOTA KINABALU – Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) pada 11 April ini di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, program pengurusan bencana Labuan yang akan berlangsung dari 7.30 pagi hingga 6.00 petang itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan komuniti setempat dalam menghadapi risiko bencana, khususnya gempa bumi dan tsunami yang berpotensi menjejaskan kawasan pesisir.
Beliau berkata, program pengurusan bencana Labuan ini merupakan hasil kerjasama strategik rentas sektoral yang melibatkan pelbagai agensi utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan rantau Borneo terhadap pengurusan bencana.
“Program ini menghimpunkan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Labuan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), selain disertai agensi lain seperti MET Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Ihsan Johor,” katanya.
Tambahnya, program pengurusan bencana Labuan akan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk taklimat mengenai peranan agensi dan komuniti dalam pengurusan bencana, taklimat risiko gempa bumi dan tsunami, serta latihan simulasi dan pemetaan risiko bencana.
“Antara pengisian utama ialah latihan simulasi tsunami dan gempa bumi, latihan pemetaan risiko bencana, pengenalan pertolongan cemas serta taklimat Pelan Tindakan Operasi (PTO) bencana tsunami,” katanya.
Menurut Carolyn, program pengurusan bencana Labuan ini memberi penekanan kepada pendekatan Community-Based Disaster Risk Reduction (CBDRM), yang melatih komuniti sebagai barisan hadapan dalam menghadapi bencana melalui pengetahuan, kemahiran dan tindakan yang tersusun.
“Pendekatan ini penting dalam membina komuniti yang lebih berdaya tahan, selain memperkukuh budaya kesiapsiagaan bencana di peringkat akar umbi serta menyokong agenda nasional dalam pengurangan risiko bencana (DRR),” katanya.
Dalam pada itu, sesi interaktif bersama agensi dan NGO turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta memahami peranan masing-masing dalam pengurusan bencana secara lebih menyeluruh. Penduduk sekitar Labuan turut dijemput menyertai program pengurusan bencana Labuan ini bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan berkaitan pengurusan bencana.




Leave a Reply