UMS-SPRINT S4S Perkasa Pendidikan Komuniti di Madrasah Al-Muqarammah

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) terus memperkukuh tanggungjawab sosial kepada komuniti melalui pelaksanaan Program Santunan Kasih 4.0 di Madrasah Al-Muqarammah, Kampung Kuala Baru, Jalan Sepanggar.

Program berimpak tinggi anjuran mahasiswa Kursus Kepimpinan dan Motivasi Seksyen 1 BAKTISISWA (EK00303) ini dibimbing oleh jurulatih Dr. Colonius Atang menerusi inisiatif Student for Society (S4S). Program ini memberi fokus kepada pembangunan sahsiah, pendidikan tidak formal dan pemindahan ilmu kepada masyarakat, khususnya generasi muda, selaras dengan peranan UMS sebagai “The Brain of Borneo” dalam melahirkan mahasiswa berjiwa prihatin, holistik dan berdaya saing.

Program kerjasama antara UMS, Coway, Bomba dan Madrasah itu disertai 30 orang murid melalui inisiatif penerapan elemen alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melibatkan aktiviti kesedaran hidupan liar dan kepentingan menjaga kualiti sumber alam bagi memupuk penghargaan terhadap biodiversiti Borneo. Selain itu, aspek sosial turut diberi penekanan melalui pembelajaran interaktif yang bertujuan membina keyakinan diri, kemahiran interpersonal dan kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa serta peserta.

Bagi memastikan keberkesanan program, mahasiswa menggunakan pendekatan pedagogi “pembelajaran taktil” berasaskan pengalaman secara langsung yang lebih efektif berbanding pembelajaran teori di bilik kuliah. “Saya Sihat, Saya Ceria” kendalian pihak Coway memberi pendedahan mengenai kepentingan air bersih dan kaedah pengujian kualiti air bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan jangka panjang. Selain itu, aktiviti “Duit Seringgit, Lama-lama Jadi Bukit” memperkukuh literasi kewangan kanak-kanak melalui simulasi interaktif dalam pengurusan wang saku yang membezakan aspek keperluan dan kehendak, manakala program “Wira Rimba Bersama Bomba” bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memberi pendedahan berkaitan keselamatan komuniti, pengendalian haiwan liar serta kepentingan pemeliharaan biodiversiti dan alam sekitar. Pengarah PKPP, Profesor Madya Dr. Jurry Foo ketika merasmikan program tersebut menjelaskan bahawa program khidmat komuniti ini adalah selari dengan Lensa 1 UMS, iaitu pembinaan insan pembentuk masa hadapan.

Kanak-kanak Madrasah Al-Muqarammah menyertai aktiviti interaktif “Duit Seringgit, Lama-lama Jadi Bukit” sempena Program Santunan Kasih 4.0 UMS-SPRINT S4S.

Program UMS SPRINT ini mendapat bimbingan penuh daripada Jurulatih Kursus EK00303, Dr. Colonius Atang. Turut hadir ialah Guru Besar Madrasah Al-Muqarammah, Sitti Tasdia Binti Mohamad Yakil. Dalam ucapan perasmian, Pengarah PKPP UMS, Prof. Madya Dr. Jurry Foo, menekankan bahawa model S4S merupakan wadah terbaik untuk melahirkan “graduan kalis masa hadapan” yang seimbang, berdaya saing, dan berjiwa komuniti. Beliau berkata;

“Kolaborasi strategik bersama rakan industri seperti Coway dan agensi kerajaan seperti pihak Bomba membuktikan bahawa ekosistem pendidikan UMS adalah bersifat terbuka dan inklusif. Melalui pengalaman lapangan ini, mahasiswa bukan sahaja mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi, malah mereka sedang menterjemahkan nilai ESG ke dalam tindakan nyata yang memberi impak terus kepada masyarakat.” Program Santunan Kasih Mahasiswa ke Madrasah 4.0 melabuhkan tirai dengan jayanya sekali gus memperkukuh peranan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam mendekati masyarakat menerusi inisiatif pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti. Kejayaan program tersebut mencerminkan sinergi erat antara universiti, komuniti dan rakan strategik dalam melahirkan mahasiswa yang cakna masyarakat, di samping menjadi pemangkin kepada lebih banyak program berimpak tinggi pada masa hadapan selaras dengan aspirasi UMS sebagai institusi intelektual yang terus menyumbang kepada pembangunan komuniti di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *