Oleh: Izuddin Hassanudin
Buat julung kalinya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah (ABIM Sabah) telah meneruskan program Ihya Ramadan, sebuah program tahunan yang dilaksanakan sejak tahun penubuhannya lagi, 1982.
Objektif utama ABIM Sabah dalam semua program yang dijalankan adalah untuk memenuhi misi mendekatkan masyarakat dengan Allah SWT melalui aktiviti-aktiviti pemantapan iman. Bagi program Ihya Ramadan, objektif kecil dan modul yang digerakkan berkisar berdasarkan nilai utama dan pengamalan 5 Rukun Islam. 5 Rukun Islam ini adalah seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadith riwayat Bukhari No. 8 dan Muslim No.16 yang menyatakan:
‘’Islam itu dibina atas lima perkara iaitu: menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan puasa di bulan Ramadan.’’
5 Rukun Islam tersebut adalah pengesahan dan pembuktian Aqidah dan keimanan seorang Muslim.
Realiti permasalahan masyarakat muslim adalah apabila terdapat kelompok yang melakukan pengabaian kepada sebahagian Rukun Islam, atau pengamalan sebahagian rukun dan meninggalkan rukun yang lain. Tambahan pula, mereka menjadi terbiasa dengan mengamalkan Rukun Islam dengan cara begini. Contohnya seperti mengamalkan solat tapi tidak berpuasa, berpuasa tetapi tidak menunaikan solat, atau, solat dan berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat. Hal ini merisaukan penulis akan bagaimana masyarakat muslim dapat dibangunkan seandainya budaya ini diteruskan.
Penulis ingin memokuskan kepada pengabaian Zakat, oleh kerana timbulnya permasalahan sebahagian besar masyarakat muslim yang memenuhi syarat sah menunaikan zakat, terutama di Sabah, gagal dalam menunaikan kewajipan ini. Difahami terdapat beberapa faktor syarat-syarat kewajipan yang ditetapkan untuk Rukun Islam seperti Zakat dan Haji menyebabkan tidak banyak yang cakna untuk menunaikannya.
Justeru, Ihya Ramadan ABIM Sabah kali ini membawakan tema ‘Zakat Menyantuni Asnaf, Ramadan Membawa Sejahtera’. ABIM Sabah mengambil pendekatan untuk memupuk kesedaran menunaikan zakat di peringkat pelajar sekolah berumur 13 – 18 tahun, bagi melentur buluh keimanan daripada rebungnya. Walaupun mereka masih muda dan belum layak membayar zakat, kesedaran tentang kepentingan dan kewajipan itu telah pun dipenuhi oleh ketua keluarga. Anak-anak muda tidak boleh selesa untuk ditanggung oleh ibu bapa yang membayar zakat tanpa secara sedar dan jelas mengetahui kewajipan itu telah ditanggung.
Oleh itu, ABIM Sabah berpandangan demi membina sebuah tamadun yang terbaik, hubungan manusia dan tuhannya, Allah SWT dipenuhi secara keseluruhan. Apabila kewajipan Zakat, dan Rukun-rukun Islam yang lain dapat dipenuhi, potensi-potensi keseimbangan sosial, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negara dapat dibangunkan secara natural, asbab keutuhan kekuatan spiritual.


Leave a Reply